SENDAI 25 Mac - Kebimbangan rakyat Jepun terus tertumpu kepada loji nuklear Fukushima, yang masih mengeluarkan wap radioaktif menyebabkan air paip di bandar raya Tokyo, ibu negara Jepun tidak selamat untuk bayi, selain mencetuskan kerisauan di seluruh dunia berhubung keselamatan makanan yang diimport dari negara ini.
Operator loji nuklear Fukushima memberi amaran usaha untuk menstabilkan loji itu boleh mengambil masa sebulan lagi.
"Kebocoran itu benar-benar menakutkan saya kerana radiasi merosakkan gen dan DNA, sesuatu yang tidak dapat dirawat oleh mana-mana doktor.
"Tidak ada rawatan untuk pendedahan kepada radiasi," kata Sunao Tsuboi, 80-an, mangsa yang terselamat dalam serangan bom nuklear Amerika Syarikat (AS) ke atas Hiroshima pada 1945.
Dua penumpang Jepun dihantar ke hospital di China setelah paras radiasi pada diri mereka didapati jauh mengatasi paras normal setibanya mereka di bandar Wuxi, timur China semalam dalam penerbangan dari Tokyo.
Menurut seorang doktor di sebuah hospital di bandar Suzhou yang berdekatan, kedua-duanya 'dibersihkan daripada kontaminasi' dan dibenarkan keluar hospital, manakala pihak berkuasa China berkata, mereka tidak menimbulkan ancaman radiasi kepada penumpang lain.
Di loji Fukushima, pekerja terus menyemburkan air laut ke reaktor yang terlampau panas dan ke dalam kolam rod tenaga sebagai langkah sementara untuk mencegah kecairan, sambil berusaha untuk membina semula sistem penyejuk yang asal.
Risiko besar yang dihadapi oleh pasukan kecemasan di loji itu menjadi nyata apabila dua pekerja subkontraktor bagi operator, Tokyo Electric Co. (TEPCO) dimasukkan ke hospital semalam kerana kebakaran radiasi.
Pekerja tersebut sedang memasang kabel di tingkat bawah tanah bangunan turbin reaktor No. 3 apabila mereka terpijak kolam air mengandungi bahan radioaktif 10,000 kali paras normal, menurut TEPCO.
Sementara itu, jumlah korban akibat gempa terburuk di Jepun selepas Perang Dunia Kedua mengatasi angka 10,000 orang hari ini.
Jepun menaruh harapan tipis untuk menemui mangsa yang masih hidup di kalangan 17,500 lagi yang disenaraikan sebagai hilang, dua minggu selepas gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter disusuli tsunami gergasi yang melanda kawasan timur laut negara ini. - AFP
No comments:
Post a Comment